Apakah yang dimaksudkan oleh “G” pada setiap teknologi ini?
Salam sejahtera dan selamat petang kepada pembaca! Hari ini saya ingin membincangkan tentang topik yang menjadi perbualan ramai pada masa ini iaitu berkenaan rangkaian 5G. Tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan huruf G itu? G itu adalah huruf yang digunakan untuk singkatan bagi perkataan “Generation” atau generasi. Secara logiknya, bermulanya dari 1G, 2G, 3G dan berikutnya adalah perubahan generasi rangkaian yang ditambahbaik dan penambahan ciri yang baru. Untuk pengetahuan anda, 1G mula diperkenalkan pada tahun 1980 dan rangkaian yang baru akan diperkenalkan pada setiap 10 tahun. 1G merupakan yang pertama untuk menggunakan teknologi selular tanpa wayar dan hanyalah terhad untuk membuat panggilan telefon sahaja.
Teknologi 1G dan 2G
Rangkaian 1G ini adalah teknologi analog dan ianya mempunyai serba kekurangan dari segi ketahanan bateri, sekuriti dan juga kualiti suara apabila kita membuat panggilan telefon. Kelajuan maksimum untuk teknologi 1G adalah 2.4 Kbps. 2G pula diperkenalkan pada tahun 1991 dimana ini adalah penambahbaikkan yang terunggul terhadap rangkaian GSM kerana ianya merupakan perubahan teknologi daripada analog ke digital. Keupayaan telefon yang menggunakan teknologi 2G adalah ianya boleh membuat panggilan telefon dan juga menggunakan servis data seperti menghantar SMS dan MMS. Teknologi 2G boleh dibahagikan kepada dua, iaitu dengan penggunaan General Packet Radio Services (GPRS) yang mempunyai kelajuan 50 Kbps manakala dengan penggunaan Enhanced Data Rates for GSM Evolution (EDGE) mempunyai kelajuan mencapai 1Mbps.
2.5G dan 2.75G????
Walaupun terdapat banyak pembaharuan teknologi selepas 2G, penggunaan 2G masih lagi digunapakai pada era teknologi yang berkembang pesat ini. Untuk pengetahuan anda, sebelum adanya teknologi 3G, terdapat juga teknologi 2.5G dan 2.75G dimana ianya dikatakan mempunyai kelajuan yang ditambah. Namun begitu teknologi ini tidaklah diuar-uarkan secara berleluasa kepada umum dan hanyalah bagi tujuan pemasaran bagi telefon-telefon yang menggunakan teknologi ini.
Teknologi 3G dan 4G
3G pula mula diperkenalkan pada tahun 1998, dengan penambahan ciri seperti membuat panggilan video dan melayari internet dengan lebih laju. 3G juga mempunyai evolusi seperti 2G dengan adanya penambahbaikan dengan mewujudkan 3.5G dan 3.75G, sebelum teknologi 4G diperkenalkan. Kelajuan bagi teknologi 3G adalah 2 Mbps dalam keadaan yang stabil dan 384 Kbps sekiranya anda berada dalam pergerakan seperti di dalam kereta. Sekarang kita berada generasi rangkaian yang keempat iaitu 4G yang mula diperkenalkan pada tahun 2008. Penambahan ciri yang terdapat pada telefon yang menggunakan rangkaian 4G ini termasuklah mengakses internet dengan lebih laju, menonton video yang berkualiti HD, mobile gaming dan sebagainya. Kelajuan teknologi 4G dalam keadaan yang statik mencapai 1 Gbps manakala dalam keadaan yang bergerak adalah 100 Mbps.
Teknologi 5G
Dengan adanya teknologi 5G ini, ianya dijangka akan membawa telefon pintar anda ke tahap yang jauh lebih hebat berbanding teknologi yang sebelumnya. Anda akan lebih mudah mengakses internet dengan pantas dan jika anda seorang penggemar menonton filem menggunakan telefon pintar anda, dengan menggunakan 5G anda tidak perlu untuk menghabiskan masa untuk menunggu filem untuk mula dimainkan. Anda juga akan dapat menonton filem tersebut secara 4K dari segi kualitinya, yang kebiasaannya anda hanya menonton video dalam 720p atau 1080p sahaja. Bagi penggemar mobile gaming pula, ini merupakan satu evolusi yang menakjubkan kerana mereka tidak akan mendapat gangguan rangkaian (lagging).
Dengan teknologi 5G ini mampu megubah segala perspektif terhadap telefon pintar dan merupakan pengalaman yang luar biasa bagi pengguna. Selain daripada telefon pintar, teknologi 5G ini juga mampu untuk mencipta satu operasi dimana kenderaan anda akan membuat kawalan dengan sendirinya, seperti keupayaan untuk mengesan kenderaan lain sebelum menukar lorong di jalanraya dan berhenti mengikut isyarat jalanraya seperti lampu isyarat dan sebagainya. Untuk mengakhiri artikel saya pada hari ini, saya amat berbangga dengan pencapaian teknologi seperti 5G ini yang memudahkan penggunaan harian kita. Saya ingin memetik satu ayat yang digunakan oleh seorang jurutera di syarikat Qualcomm yang mengusakah teknologi 5G ini iaitu “5G is ready for primetime.”.
Recent Comments