Dalam artikel saya pada hari ini, saya akan menceritakan sebuah program yang dianjurkan oleh IPRO Ampang, bertempat di kedai kami beberapa hari yang lepas yang berlangsung selama 2 hari. Program ini melibatkan pensyarah dari Kolej Teknologi Bestari (KTB) yang telah mempunyai sebuah cawangan baru di Ampang. Jumlah pensyarah yang mengambil bahagian dalam program ini adalah sebanyak 7 orang dimana kebanyakannya berasal dari Terengganu.
Tujuan pensyarah-pensyarah ini datang ke IPRO Ampang adalah untuk mempelajari cara-cara untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan telefon pintar. Ini kerana ianya merupakan salah satu silibus yang perlu diketengahkan kepada mahasiswa dan mahasiswi di kolej mereka. IPRO Ampang telah menyediakan tiga buah module dimana ianya merangkumi pengenalan kepada peranti sesebuah iPhone untuk setiap model, alat-alatan yang digunakan semasa pembaikan telefon dan juga panduan untuk membuat pembaikan iPhone dan juga iPad. Cara-cara untuk mengemaskini iOS juga disertakan dalam modul itu. Gambar dibawah menunjukkan pensyarah-pensyarah yang menyertai program yang dianjurkan oleh kami pada 25 Jun 2019.
Pada hari yang pertama, pensyarah-pensyarah tersebut diperkenalkan kepada peranti-peranti yang terdapat dalam beberapa model iPhone. Selain itu, peralatan yang digunakan untuk menjalankan sebarang pembaikan juga diterangkan dengan jelas kepada mereka. Penerangan modul-modul diberikan oleh Encik Ahmad Mubin selaku pengurus IPRO Ampang dan juga salah seorang juruteknik di IPRO Ampang yang bernama Merza.
Modul pengenalan peranti dan peralatan untuk pembaikan mengambil masa 4 jam untuk dua sesi, dimana mereka akan diberi waktu rehat selama 1 jam 30 minit, selepas 2 jam pembelajaran. Pengenalan peranti iPhone itu merangkumi iPhone 4 & 4S, iPhone 5 & 5S & SE & 5C, iPhone 6 & 6 Plus, iPhone 6S & 6S Plus, dan juga iPhone 7. Peranti yang disediakan dalam modul itu termasuklah Ear Speaker, LCD, butang Home, bateri, kamera hadapan dan belakang, dan sebagainya.
Pada hari yang kedua, pihak IPRO Ampang memberi tunjuk ajar mengenai cara-cara membuat servis pembaikan pada iPhone. IPRO Ampang menjelaskan tentang betapa pentingnya untuk penukaran dilakukan dengan cermat. Dalam modul yang disediakan oleh kami, kami merumuskan segala langkah-langkah yang perlu diambil perhatian semasa servis pembaikan iPhone. Antara model-model yang digunakan sebagai bahan pengajaran adalah iPhone 5S, iPhone 6, iPhone 7 dan beberapa buah model untuk iPad iaitu iPad 2, iPad 3, iPad Air dan juga iPad Mini.
Panduan untuk penukaran bateri ditunjukkan dengan menggunakan model iPhone 5 dan iPhone 6 manakala penukaran LCD pula menggunakan model iPhone 7. Bagi iPad pula, kami menerangkan tentang riben yang berada pada keliling skrin. Penerangan tentang servis pembaikan telah diberikan oleh Merza dan juga Encik Ahmad Mubin. Terdapat juga penerangan berkenaan dengan kemas kini iOS menggunakan software 3uTools di komputer. Pensyarah-pensyarah KTB memberikan perhatian dan kerjasama yang baik dengan menanyakan beberapa soalan untuk mendapatkan kefahaman yang lebih jelas.
Setelah tamat sesi pengajaran dan pembelajaran, pihak IPRO telah bergambar dengan kesemua pensyarah-pensyarah KTB yang mengambil bahagian dalam program ini. Pihak IPRO Ampang berbesar hati kerana dapat berkongsi ilmu tentang servis pembaikan telefon kepada pensyarah-pensyarah KTB. Kami ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada kesemua pensyarah KTB dan berharap agar ilmu yang kami kongsikan selama dua hari ini dapat diserap sepenuhnya.
Recent Comments